fb fb fb fb fb

Enam ditahan pergaduhan di Medan Seri Keramat

PDRM

KUALA LUMPUR, 1 April- Enam lelaki ditahan kerana disyaki terbabit dalam kejadian pergaduhan antara dua kumpulan yang melibatkan 10 lelaki di Medan Seri Keramat di sini awal pagi Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Azam Ismail berkata kesemua warga tempatan berusia 20 hingga 40 tahun itu ditahan di pekarangan Balai Polis Hulu Kelang pada 2.30 pagi dengan dua daripada mereka didapati mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Beliau berkata pihak polis telah menerima aduan berkaitan pergaduhan di lokasi berkenaan pada pukul 12.19 tengah malam hari kejadian.

"Siasatan mendapati rusuhan berpunca apabila salah seorang dari kumpulan suspek telah membuat provokasi, menyebabkan seorang lagi suspek menghubungi rakan-rakannya lalu berlakunya pergaduhan.

"Seorang suspek mengalami kecederaan dan telah mendapat rawatan di Hospital Ampang," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Mohd Azam berkata ketika berada di Balai Polis Hulu Kelang, salah seorang suspek telah menumbuk muka dan menendang badan seorang lagi suspek.

“Pihak polis telah menghalang dan menahan suspek kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis," katanya.

Beliau berkata reman terhadap semua lelaki itu dibenarkan selama tiga hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 90 Akta Polis 1967 kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis.

SITI AISHAH MD ISA