KUCHING, 30 Mac- Tiga lelaki tempatan ditahan selepas cuba merempuh anggota polis peronda dalam insiden kejar-mengejar di Jalan Green, awal pagi semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Penguasa Polis (SUPT) Merbin Lisa, berkata kejadian berlaku sekitar pukul 3 pagi apabila polis mengesan dua kenderaan bergerak mencurigakan di kawasan perumahan terbabit.
Ketika cuba ditahan, sebuah pacuan empat roda bertindak merempuh pihak polis, memaksa anggota bertugas melepaskan satu das tembakan.
Tembakan itu menyebabkan kenderaan terbabit terbabas ke bahu jalan sebelum tiga suspek berusia antara 39 hingga 43 tahun berjaya diberkas.
Mendedahkan perkara itu kepada media pagi tadi, Merbin Lisa turut mengesahkan bahawa kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Sementara itu, polis masih memburu pemandu kereta berwarna merah yang meloloskan diri dalam kejadian tersebut.
Kes kini disiasat bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Jika sabit kesalahan atas cubaan membunuh, mereka boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun.