MELAKA, 30 Mac - Seramai 144 individu ditahan di Melaka atas pelbagai kesalahan narkotik dalam Ops Sarang yang dilaksana bermula 27 hingga 29 Mac.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, sepanjang operasi itu sebanyak 142 serbuan dijalankan dengan 244 individu diperiksa dan pelbagai jenis dadah dianggarkan keseluruhan lebih RM3,000 dirampas.
Individu yang ditahan termasuk tujuh suspek bagi kesalahan pengedaran dadah yang disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A (1) Akta sama.
Turut ditahan 39 individu atas kesalahan memiliki dadah masing-masing disiasat bawah Seksyen 12 (2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, serta Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.
Selain itu, 12 individu berjaya ditahan kerana dikehendaki polis atas pelbagai kesalahan dadah.
86 individu lagi disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana positif ujian air kencing.
Pelbagai jenis dadah dirampas termasuk heroin seberat 39.32 gram, syabu 9.13 gram, ganja 3.70 gram serta daun ketum 3 kilogram (kg).
Turut dirampas 1 liter cecair ketum dan 31.40 liter air ketum. Keseluruhan rampasan bernilai RM3,145.