fb fb fb fb fb

Dalang sindiket dadah dalam radar polis - KP Kelantan

Foto RTM

KOTA BHARU, 19 November - Polis Kelantan telah mengenal pasti beberapa individu yang dipercayai mendalangi sindiket pengedaran dadah di negeri itu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata kumpulan itu kini dalam radar pemantauan pihaknya.

Tambah beliau, dalang terlibat sukar ditahan kerana memberi bahan dan tidak 'memegang' bekalan dadah.

"Rangkaian sindiket yang terputus turut menyukarkan polis mengesan ketua sebenar sindiket kerana yang ditahan biasanya mengenali transporter pada peringkat mereka sahaja.

"Sindiket ini berlapis-lapis sebelum sampai ke ketua sindiket. Meskipun begitu, kita mengawasi individu terbabit terutama yang baru membuka perniagaan termasuk perniagaan yang pelik dan besar secara mendadak," jelasnya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.
 
Datuk Mohd Yusoff turut memaklumkan penyeludupan dadah di Kelantan merekodkan penurunan ketara tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
 
"Rampasan dadah direkodkan menurun lebih 56 peratus daripada RM68 juta tahun lalu berbanding hanya RM28 juta tahun ini,"ujarnya.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN