fb fb fb fb fb

Kastam rampas 18.3 kilogram dadah disorok dalam MPV di Balakong

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long (kiri) menunjukkan dadah yang dirampas selepas ditemukan disorok dalam sebuah MPV di Balakong, Selangor

KOTA BHARU, 19 November -Pelbagai jenis dadah seberat 18.3 kilogram bernilai RM1.5 juta ditemukan disorok dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Balakong, Selangor.

Dadah itu ditemui ketika Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan menjalankan operasi kenderaan tidak berkastam dari 14 hingga 16 Oktober lalu.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, rampasan dibuat selepas pasukan operasi melakukan intipan selama lapan jam di kawasan parkir sebuah kondominium pada 15 Oktober.

Selepas tiada pergerakan dikesan, pemeriksaan ke atas MPV itu menemui dadah jenis Yaba, ketamin, syabu, Eramin 5 dan ekstasi.

“Hasil maklumat awam, pasukan memantau MPV jenis Toyota Estima yang dipercayai dijadikan tempat simpanan dadah.

Selepas lapan jam tanpa pergerakan, kami menemui beg pakaian dan tong lut sinar berisi pelbagai jenis dadah,” katanya.

Beliau memaklumkan, sindiket didapati menggunakan kenderaan tidak berkastam sebagai stor transit dadah dan meninggalkannya di parkir awam bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Dalam operasi sama, dua lagi kenderaan tidak berkastam, serta sebuah motosikal turut disita.

Kes berkaitan kenderaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, manakala kes dadah disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sabit kesalahan boleh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 15 sebatan.

Dalam perkembangan berkaitan, JKDM Kelantan berjaya menumpaskan 29 kes penyalahgunaan dadah dengan nilai rampasan melebihi RM22.8 juta sejak Januari hingga Oktober lalu.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN