KUANTAN, 12 Ogos - Polis Pahang kini giat memburu Victor Lee, 44, bersama baki 100 keping cip kasino bernilai RM1 juta, susulan kes pecah amanah RM3 juta di Genting Highlands, 2 Ogos lalu.
Ketua Polis Negeri Datuk Seri Yahaya Othman mengesahkan, 200 cip kasino bernilai RM2 juta berjaya dirampas selepas seorang individu tampil menyerahkannya di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong pada 8 Ogos.
"Mangsa membeli cip berkenaan daripada suspek melalui serahan tangan tanpa sebarang perjanjian bertulis," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.
Media sebelum ini melaporkan Victor Lee, bekas pekerja kasino di Genting Highlands dipercayai menyeleweng 300 keping cip kasino bernilai RM3 juta daripada majikannya di sebuah bilik kasino tertutup.
Rakaman CCTV menunjukkan suspek mengambil cip berkenaan sebelum melarikan diri dan dikesan meninggalkan negara pada hari sama.
Polis telah mengeluarkan Senarai Pekeliling Khas bagi membolehkan suspek ditahan sebaik kembali ke Malaysia.
Kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah jenayah.