fb fb fb fb fb

Dadah : Reman isteri, dua anak pengamal perubatan dilanjut enam hari lagi

Foto BERNAMA

KOTA BHARU, 12 Ogos - Mahkamah Majistret di sini membenarkan permohonan polis untuk menyambung reman enam hari lagi terhadap seorang wanita dan dua anaknya yang disyaki memiliki 35 kilogram ganja mampat serta sepucuk pistol bersama peluru dan kelongsong di Kampung But, Ketereh.

Perintah reman sehingga 18 Ogos itu dikeluarkan oleh Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Terdahulu, tiga beranak berkenaan tiba di mahkamah kira-kira pukul 8.45 pagi dengan memakai baju lokap berwarna jingga.

Kesemua suspek ditahan dalam serbuan Selasa lepas.

Suspek berusia 24 dan 34 tahun bekerja sebagai pembantu di klinik milik bapa mereka, manakala wanita berusia 46 tahun merupakan seorang suri rumah.

MASNIZA AWANG KECHIK