KUALA TERENGGANU, 12 Ogos – Polis merampas dadah jenis syabu bernilai RM6.36 juta selepas menahan dua kenderaan mencurigakan di Jalan Sungai Ikan, pada 28 Julai lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, rampasan dibuat menerusi Op Sekatan Jalan Raya Bersepadu kira-kira pukul 5.00 petang.
Jelas beliau, kedua-dua kenderaan berkenaan cuba melarikan diri dengan membuat pusingan U secara mengejut sebelum dikejar polis sejauh lima kilometer dan ditinggalkan di kawasan Kampung Felda Belara.
"Pemeriksaan ke atas sebuah Mercedes Benz hitam menemukan lima kotak polisterin berisi 120 bungkusan plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki syabu, dengan berat keseluruhan 126.96 kilogram.
Pemeriksaan sebuah lagi kenderaan Perodua Myvi putih menemukan tiga kotak polisterin berisi 68 bungkusan dadah seberat 71.94 kilogram," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini.
Beliau memaklumkan, dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran luar Terengganu dan boleh digunakan hampir sejuta penagih.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Polis sedang giat mengesan suspek termasuk pemilik kenderaan terbabit.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi talian 011-6735 1234.