AYER KEROH, 12 Ogos - Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 51 pertuduhan melakukan sumbang mahram dan amang seksual fizikal terhadap anak kandungnya, sejak Mei lalu.
Tertuduh yang berusia 41 tahun membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Haderiah Siri.
Berdasarkan 17 pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan sumbang mahram terhadap anak kandung sendiri yang berusia 18 tahun di sebuah rumah bernombor di Taman Tambak Paya Harmoni dalam daerah Melaka Tengah antara pukul 6.50 pagi hingga 7.15 pagi dari 12 Mei hingga 2 Ogos 2025.
Tertuduh turut didakwa atas 17 pertuduhan masing-masing bawah Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017, selain berdepan satu pertuduhan mengikut Seksyen 7 AKSTK 2017.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM90,000 bagi kesemua nombor kes serta syarat tambahan dipohon pendakwaan.
18 September depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.