fb fb fb fb fb

Polis giat buru Victor Lee, terlibat kes pecah amanah

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman

KUANTAN, 12 Ogos - Polis Pahang giat memburu Victor Lee, 44 tahun, bersama baki 100 keping cip kasino bernilai RM1 juta yang dipercayai masih disorokkan suspek, susulan kes pecah amanah RM3 juta di Genting Highlands pada 2 Ogos lalu.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, status terkini pihaknya merampas 200 keping cip kasino bernilai RM2 juta selepas seorang individu tampil menyerahkannya di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong pada 8 Ogos lalu.

Tindakan individu itu menyerahkan cip terbabit susulan kes itu dilaporkan media.

Siasatan mendapati individu berkenaan memberikan pinjaman tunai RM2 juta kepada Victor Lee melalui dua pekerja, dengan cip tunai dijadikan cagaran.

Urusan tersebut berlangsung di Lobi Genting Grand tanpa sebarang perjanjian bertulis.

Media sebelum ini melaporkan Victor Lee, bekas pekerja kasino di Genting Highlands, dipercayai menyeleweng 300 keping cip kasino bernilai RM3 juta daripada majikannya di sebuah bilik kasino tertutup.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek mengambil cip berkenaan sebelum melarikan diri, dan dikesan meninggalkan negara pada hari sama.

Polis telah mengeluarkan Senarai Pekeliling Khas bagi membolehkan suspek ditahan sebaik kembali ke Malaysia.

Kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah jenayah.

Terdahulu, Datuk Seri Yahaya menghadiri Perhimpunan Bulanan Ogos 2025 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Kuantan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI