BUKIT KAYU HITAM, 12 Ogos - Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) berjaya mematahkan cubaan menyeludup dan merampas 10,200 liter minyak diesel bernilai RM30,600 ke negara jiran.
Keseluruhan nilai rampasan termasuk penahanan enam buah kenderaan termasuk tiga lori semi treler di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan, ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah, pagi tadi bernilai RM380,600.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Mohd Nasaruddin M. Nasir berkata, dalam operasi pertama, tiga lori pick-up ditahan di laluan keluar Malaysia setelah melepasi pemeriksaan Imigresen pada pukul 7.30 pagi.
Manakala tiga lori treler ditahan di laluan kenderaan berat setelah melepasi pemeriksaan Kastam ketika menghala ke Thailand pada pukul 8.45 pagi.
Kesemuan kenderaan bernombor pendaftaran negara jiran itu dalam perjalanan dari Malaysia untuk ke negara terbabit.
Hasil pemeriksaan menemukan minyak diesel yang disembunyikan di dalam tangka-tangki kenderaan yang telah diubahsuai.
"Mereka ubah suai tangki tersebut bawah casis lori. Kenderaan untuk pick-up biasanya mereka tambah atas dek tersebut, tetapi apabila mereka ubah suai kita tidak akan nampak sekiranya tidak diperiksa secara teliti dan terperinci.
"Kenderaan itu tidak membawa muatan, kosong. Kalau kita tengok daripada jauh nampak macam kosong ja tapi sebenarnya ada tangki tersembunyi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, di sini.
Kes disiasat bawah Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.