LABUAN, 29 Ogos - Sebuah van dengan muatan 20 gelen plastik mengandungi kira-kira 400 liter petrol, dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan dalam Ops Tiris, semalam.
Serbuan kira-kira pukul 3.30 petang itu dilakukan hasil risikan bagi mengesan aktiviti penyelewengan barangan kawalan di kawasan jeti pulau ini.
Ketika operasi, pemandu van terbabit melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa, sebelum kenderaan tersebut ditahan di tempat letak kereta sekitar Jalan Merdeka.
Pemeriksaan lanjut mendapati tiada permit sah berkaitan pemilikan petrol berkenaan. Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan berjumlah RM20,820.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).