fb fb fb fb fb

JAINJ, PDRM diarah siasat ajaran sesat di Batu Pahat

Video tular memaparkan kegiatan dipercayai ajaran sesat di daerah Batu Pahat.

JOHOR BAHRU, 29 Ogos - Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarah menjalankan siasatan serta tindakan penguatkuasaan, berhubung kegiatan tular yang dipercayai ajaran sesat di Batu Pahat.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam kenyataan menegaskan, segala perbuatan khurafat, tahyul dan pemujaan yang bercanggah dengan syariat Islam, adalah dilarang serta boleh dikenakan tindakan mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.

Kerajaan negeri, katanya memandang serius kegiatan berkenaan dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menggugat keharmonian serta kedaulatan agama Islam.

Beliau turut meminta kerjasama Penghulu, ketua masyarakat, penggerak masjid dan pihak berkuasa bagi memastikan aktiviti khurafat, pemujaan atau ajaran sesat dapat dibanteras sepenuhnya.

Sebelum ini, tular sebuah video memaparkan kegiatan dipercayai ajaran sesat di daerah Batu Pahat.

TUN JULIA MOHD TAHIR