fb fb fb fb fb

Tutup "Edisi Siasat"-"Edisi Khas": MCMC peroleh injunksi sekat kandungan mudarat di Telegram

Perintah tersebut dikeluarkan sementara menunggu pendengaran rayuan interlokutori MCMC di Mahkamah Rayuan

KUALA LUMPUR, 31 Oktober - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya memperoleh Injunksi Erinford daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menghalang penyiaran kandungan memudaratkan di platform Telegram, termasuk saluran “Edisi Siasat” dan “Edisi Khas”.

Perintah tersebut dikeluarkan sementara menunggu pendengaran rayuan interlokutori MCMC di Mahkamah Rayuan.

MCMC memaklumkan keputusan itu satu langkah penting dalam memastikan ekosistem digital negara kekal selamat dan selaras dengan kepentingan awam.

"Melalui keputusan itu, mahkamah turut memerintahkan penutupan sepenuhnya kedua-dua saluran berkenaan serta mana-mana saluran lain yang mempunyai kandungan atau modus operandi serupa," menurut kenyataan MCMC hari ini.

Injunksi tersebut bertujuan mengelakkan penyebaran kandungan palsu, menghasut dan mengelirukan yang boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi awam negara.

Mahkamah menegaskan bahawa kepentingan awam mengatasi kepentingan peribadi, serta mengingatkan penyedia platform luar negara seperti Telegram agar lebih peka dan menghormati konteks sosial serta perlembagaan Malaysia.

GRACE AISYAH KEDAYAN