fb fb fb fb fb

Tukang cuci mengaku bersalah miliki pistol, 36 peluru hidup

Tukang cuci mengaku bersalah miliki pistol, 36 peluru hidup tanpa permit

KOTA BHARU, 17 September – Seorang tukang cuci di sebuah resort mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol dan 36 butir peluru hidup tanpa permit di rumahnya di Kampung Paloh, Pintu Geng, pada 6 September lalu.

Tertuduh, Azhar Anual, 50, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Azhar didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Glock 26 Gen4 Austria serta 36 butir peluru hidup tanpa lesen atau permit sah di rumah berkenaan kira-kira pukul 5 pagi pada tarikh tersebut.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan sehingga enam kali, serta Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 21 Oktober depan untuk pembentangan fakta kes dan hukuman, selain tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN