BUKIT KAYU HITAM, 17 September - Seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) antara enam remaja berusia 17 hingga 19 tahun ditahan selepas disahkan positif dadah. Penahanan dibuat menerusi operasi bersepadu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, petang semalam.
Pengarah AADK Kedah, Khairul Anwar Ahmad berkata, kesemua remaja itu ditahan ketika pulang dari negara jiran selepas bercuti.
Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua remaja itu positif dadah. Siasatan awal menunjukkan mereka dipercayai menghisap rokok berisi ketamin di sebuah pusat hiburan di negara jiran.
Calon SPM berkenaan yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang juga mengaku ini merupakan kali kedua dia terlibat dengan penyalahgunaan dadah selepas pengalaman pertama ketika masuk ke negara jiran sebelum ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.