ALOR GAJAH, 17 September - Seorang lelaki ditahan pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJSN) Melaka di kawasan Jalan Industri Rumbia, Alor Gajah pada 12 September lalu gara-gara menjadikan sebuah kereta sebagai stor simpanan dadah terbongkar.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Azrul Mohamed dalam satu kenyataan memaklumkan, pemeriksaan dalam kenderaan menemukan 1,500 peket plastik lut sinar berisi dadah disyaki heroin dianggarkan seberat 2.13 kilogram.
"Turut dirampas 100 peket lutsinar berisi bahan disyaki syabu dianggarkan seberat 96 gram. Keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM35,000 dan sindiket dipercayai aktif sejak Julai lalu.
"Kesemua dadah dipercayai untuk pasaran tempatan yang boleh digunakan seramai 2,500 penagih," menurut kenyataan itu.
Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berstatus tiada tindakan lanjut (NFA) bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun suspek negatif dadah dan kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.