KUALA LUMPUR, 16 September - Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung penularan satu video yang memaparkan sebuah keluarga berpakaian serba kuning lengkap dengan tengkolok menyerupai gaya istiadat kerabat diraja dalam sebuah majlis akikah, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M Kumar dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan itu dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT).
"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 3(1) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Siasatan terhadap dua lagi kes melibatkan hantaran berunsur hasutan, penghinaan dan permusuhan di aplikasi TikTok," menurut kenyataan itu.
Kes pertama membabitkan seorang bekas penjawat awam dengan akaun @zamanharris82 yang memuat naik komen berbaur hasutan dan penghinaan terhadap kerajaan serta pemimpin negara.
Manakala kes kedua melibatkan pemilik akaun @no.wad yang mempersoalkan tindakan kerajaan dalam menangani insiden di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur, yang dikhuatiri boleh mencetuskan permusuhan dalam kalangan masyarakat.
Datuk M Kumar menegaskan, ketiga-tiga kes itu jelas menunjukkan penyalahgunaan media sosial dan kandungan digital yang boleh menimbulkan hasutan, penghinaan serta permusuhan.
PDRM tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu terbabit.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar berhemah dan bertanggungjawab ketika mengeluarkan sebarang kenyataan atau kandungan di ruang awam mahupun media sosial.