fb fb fb fb fb

Polis siasat video tular salah guna lambang diraja, hina pemimpin dan kerajaan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar

KUALA LUMPUR, 16 September - Polis menjalankan siasatan terhadap tiga kes penularan video di aplikasi TikTok berkait penghinaan terhadap kerajaan, pemimpin negara termasuk rakaman meniru gaya istiadat kerabat diraja.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata ketiga-tiga kes berkenaan jelas menunjukkan penyalahgunaan media sosial dan kandungan digital yang boleh menimbulkan hasutan, penghinaan serta permusuhan dalam masyarakat.

Katanya, kes pertama melibatkan seorang bekas penjawat awam menggunakan akaun TikTok @zamanharris82 yang membuat komen berunsur hasutan. 

"Kes kedua pula membabitkan hantaran pengguna akaun @no.wad yang mempertikai tindakan kerajaan dalam menangani insiden di Kampung Sungai Baru, dipercayai boleh mencetuskan permusuhan antara kumpulan dalam negara.

“Kes ketiga pula membabitkan penularan video memaparkan sebuah keluarga berpakaian serba kuning dan bertengkolok seperti gaya istiadat kerabat diraja dalam majlis aqiqah yang dipercayai menyalahgunakan lambang diraja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kumar berkata kes disiasat mengikut beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 3(1) Akta Lambang dan Nama 1963, Seksyen 505(b) dan 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“PDRM tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terbabit. Orang ramai dinasihatkan berhemah serta bertanggungjawab ketika mengeluarkan sebarang kenyataan di ruang awam mahupun media sosial,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN