fb fb fb fb fb

3 lelaki ditahan, bangkai harimau belang ditemukan dalam kereta

FOTO FB Pasukan Simpanan Persekutuan

KUALA LUMPUR, 16 September - Tiga lelaki ditahan selepas pihak berkuasa menemukan bangkai seekor harimau belang dipercayai diburu secara haram di dalam sebuah kereta di Felda Tenggaroh, Mersing, Johor pagi tadi.

Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Bukit Aman menerusi satu hantaran Facebook memaklumkan, operasi bersepadu bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor itu dijalankan hasil maklumat awam.

Komander FRU, SAC Rosli Md Yusof berkata, pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan menemukan seekor harimau belang mati (Panthera Tigris Jacksoni) bersama beberapa barangan lain yang turut dirampas.

“Harimau belang ialah khazanah negara yang tidak ternilai. Kehilangannya akibat kerakusan manusia adalah pengkhianatan kepada warisan bangsa.

“Risikan FRU akan terus berada di barisan hadapan bersama agensi sahabat bagi memastikan setiap khazanah negara dipertahankan. Kami beriltizam membanteras pemburuan haram tanpa kompromi demi kelestarian alam dan generasi akan datang,” katanya.

Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut merampas kereta Perodua Alza serta empat telefon bimbit dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM294,007.

Siasatan awal mendapati haiwan berkenaan mengalami kecederaan serius dipercayai akibat jerat selain enam kesan tembakan di kepala yang menjadi punca kematian.

Kesemua suspek berusia 28 hingga 49 tahun kini ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 70 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana menyimpan hidupan liar tanpa permit khas.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Johor, Aminuddin Jamin memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut sebelum melengkapkan kertas siasatan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE