fb fb fb fb fb

Inkues Zara Qairina: Ibu tolak bedah siasat, saksi forensik beri keterangan

Mahkamah Koroner Kota Kinabalu hari ini diberitahu bahawa ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir enggan membenarkan proses bedah siasat dilakukan ke atas jenazah anaknya, meskipun telah diberi penjelasan beberapa kali oleh pihak perubatan / Foto Hiasan / Bernama

KOTA KINABALU, 17 September – Mahkamah Koroner Kota Kinabalu hari ini diberitahu bahawa ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir enggan membenarkan proses bedah siasat dilakukan ke atas jenazah anaknya, meskipun telah diberi penjelasan beberapa kali oleh pihak perubatan.

Prosiding hari kelapan itu menampilkan saksi ketujuh, pegawai perubatan forensik Dr. Logaraj Ratha, 35, yang kini menjalani latihan luar kampus di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth sejak Jun 2024.

Dr. Logaraj berkata beliau bertemu dengan ibu Allahyarham, Noraidah, pada 17 Julai lalu bersama kakak iparnya, Nur Shira Abdullah bagi menerangkan kepentingan menjalankan bedah siasat.

“Sewaktu penjelasan diberikan, Puan Noraidah berada dalam keadaan tenang, mampu menjawab pertanyaan dengan jelas serta sedar akan keadaan sekeliling, masa dan individu yang hadir ketika itu,” katanya.

Beliau menambah, walaupun Borang Pol. 61 (Permintaan Pemeriksaan Mayat) tidak dikeluarkan pihak polis, proses bedah siasat klinikal masih boleh dijalankan, namun ia tertakluk kepada kebenaran waris terdekat.

Menurutnya, penjelasan telah diberikan sebanyak dua kali sebelum Noraidah menandatangani Surat Akuan Enggan Bedah Siasat Mayat Atas Kemahuan Sendiri.

Dalam borang tersebut, keluarga turut menyatakan bahawa mereka tidak mengesyaki wujud unsur jenayah (foul play) dalam kematian Zara Qairina.

Dr. Logaraj juga memaklumkan bahawa pada petang hari sama, Noraidah memberitahu beliau telah membuat laporan polis berhubung kematian anaknya, namun enggan memberikan salinan laporan tersebut kepada pihak forensik.

Saksi itu turut berkata, pegawai penyiasat kes, Inspektor Wong Yew Zhung, memaklumkan bahawa Borang Pol. 61 tidak akan dikeluarkan selepas perbincangan bersama pegawai atasan kerana punca kematian dianggap telah diketahui.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN