KUALA LUMPUR, 17 September – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sindiket memproses dan mengedar dadah jenis Methylene-dioxy-methamphetamine (MDMA) atau ‘ecstasy’ bernilai hampir RM600 juta dalam beberapa siri serbuan di sekitar Lembah Klang pada 10 September lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata menerusi operasi bersepadu Op Pine, empat lelaki tempatan berusia 34 hingga 51 tahun ditahan kerana dipercayai terbabit secara langsung dalam sindiket itu.
Antara yang ditahan termasuk koordinator sindiket, seorang ahli kimia, pembantu serta pengangkut.
Hasil serbuan di tiga lokasi berasingan di Kepong dan Dataran Templer, Selangor, polis menemukan sebuah makmal haram lengkap dengan pelbagai peralatan pemprosesan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail bercakap dalam dalam sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur / Foto Bernama
“Secara keseluruhan, PDRM telah berjaya merampas 3,586.45 kilogram dadah jenis MDMA dengan anggaran nilai pasaran gelap mencecah RM598.9 juta. Rampasan tersebut berpotensi merosakkan kehidupan lebih 12 juta pengguna sekiranya ia terlepas ke pasaran,” katanya dalam sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, pagi tadi.
Seorang daripada suspek dikesan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah, manakala ujian saringan mendapati seorang lagi positif ketamin. Kesemua suspek kini direman untuk membantu siasatan.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan.
Dalam operasi itu, polis turut menyita harta sindiket bernilai lebih RM336,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
Tambah Mohd Khalid, sehingga 14 September tahun ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) merekodkan lebih 174,000 kes siasatan berkaitan dadah dengan 189,000 tangkapan membabitkan pengedar, pembekal serta kurier.
Jumlah rampasan sepanjang tempoh itu dianggarkan hampir RM2 bilion di pasaran gelap.
Beliau menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti dadah dan menyeru orang ramai menyalurkan maklumat melalui talian hotline JSJN di 012-208 7222.