KOTA BHARU, 17 September - Polis menahan seorang ibu bersama dua anaknya serta merampas 108,000 biji pil yaba dan 37 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM1.62 juta, dalam serbuan di Kampung Pauh Panji, Rabu lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kesemua suspek berusia antara 19 hingga 60 tahun itu ditahan, hasil intipan selama seminggu sebelum serbuan dilakukan pada pukul 12.20 tengah hari.
“Sindiket ini dipercayai aktif sejak Mei lalu. Modus operandinya adalah menjadikan rumah sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum dipasarkan di sekitar Kelantan. Pil yaba ini hanya untuk pasaran negeri ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Hasil ujian air kencing mendapati ketiga-tiga suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Selain rampasan dadah, polis turut menyita sebuah motosikal.
Kesemua suspek direman selama 14 hari sehingga 24 September dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan saki baki ahli sindiket berkenaan.