KOTA BHARU, 17 September - Motif cemburu dipercayai menjadi punca seorang lelaki warga Myanmar dibunuh di sebuah rumah kongsi di Gua Musang, Rabu lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, susulan kejadian itu polis menahan empat warga Myanmar termasuk pasangan suami isteri di sebuah rumah kongsi di Ulu Galas pada pukul 7 pagi semalam.
Beliau berkata, semua suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 30 hingga 46 tahun dan mereka mengaku membunuh rakan senegara berkenaan.
“Hasil siasatan mendapati motif kejadian adalah cemburu kerana mangsa dikatakan memeluk seorang wanita berusia 30-an,” katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.
Polis turut merampas beberapa telefon bimbit dan sebilah parang panjang dipercayai digunakan suspek dalam serangan itu. Pemeriksaan juga mendapati kesemua mereka tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan bekerja di ladang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959.