fb fb fb fb fb

Dua kumpulan curi kabel ECRL tumpas di Pahang

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman. / Foto BERNAMA

TEMERLOH, 17 September - Polis Pahang berjaya menumpaskan dua kumpulan penjenayah yang mencuri kabel projek East Coast Rail Link (ECRL) dengan menahan lapan suspek dalam beberapa serbuan di Temerloh, Kuantan dan Bentong.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, sepanjang Ogos hingga September lalu, enam kes kecurian kabel dilaporkan dengan kerugian mencecah RM825,000 melibatkan hampir 5,000 meter kabel.

Beliau berkata, dua kumpulan penjenayah telah dikenal pasti iaitu Geng Musang, dipercayai melakukan empat kes di Bentong dan Temerloh, serta Geng Jep Gambang dengan dua kes di Kuantan.

“Daripada lapan orang suspek yang ditangkap, seramai enam orang terbabit secara langsung dalam kegiatan mencuri kabel ECRL manakala dua lagi adalah pembeli. Semua suspek berumur antara 29 hingga 45 tahun, dan tujuh daripada mereka mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah,” katanya pada sidang media, hari ini.

Dalam operasi itu, polis turut merampas barangan bernilai RM100,000 termasuk sebuah lori, kereta, kabel tembaga serta peralatan memotong.

Kesemua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 379, 431A dan 411 Kanun Keseksaan.

Polis masih memburu empat lagi individu, termasuk dua lelaki tempatan dan dua lelaki warga Kemboja yang masih bebas.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI