ISKANDAR PUTERI, 18 November - Tujuh warga asing termasuk seorang perempuan berumur dalam lingkungan 25 hingga 45 tahun dicekup Pasukan Polis Marin Wilayah Dua selepas dikesan cuba menyeludup masuk ke negara ini, di pesisir pantai Forest City, Tanjung Kupang tengah malam semalam.
Pemangku Ketua Polis Johor Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) Abdul Latiff Mehat dalam satu kenyataan memaklumkan, tangkapan dilakukan ketika pasukan itu mengesan sekumpulan individu sedang bersembunyi di kawasan semak di pesisir Pantai Forest City.
"Kesemua suspek gagal mengemukakan dokumen diri yang sah dan dipercayai masuk ke negara malaysia melalui jalan tidak sah. Polis turut membuat rampasan ke atas tujuh telefon bimbit pelbagai jenama," menurut kenyataan itu.
Siasatan dijalankan bawah peruntukan undang-undang Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/63 - masuk atau keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak dibenarkan atau tidak diwartakan. Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Kesemuanya turut disiasat bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 - tiada dokumen perjalanan diri yang sah berada di malaysia, jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya dan dikenakan sebatan tidak lebih enam sebatan.
Polis Johor sentiasa komited membanteras dan memastikan kegiatan penyeludupan migran dapat dikekang kerana kemasukan ini telah mencabar kedaulatan negara dan peruntukan undang-undang yang sedang berkuatkuasa.
Masyarakat juga digesa agar terus menyalurkan maklumat kepada Polis Johor tentang apa jua aktiviti yang menyalahi undang-undang dan peraturan supaya keselamatan negara dan ketenteraman awam terpelihara.