TAIPING, 18 November - Empat sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Taiping atas pertuduhan mencuri kabel Telekom Malaysia (TM), Sabtu lalu.
Kesemua tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Hamdi Mustafar.
Mengikut pertuduhan, B. Sujenthrran, M. Indran, M. Sujendran dan A. Shiman Narayan berusia antara 38 hingga 41 tahun didakwa secara bersama cuba mencuri kabel dengan membuka penutup lubang kabel bawah tanah milik Telekom Malaysia.
Kesalahan itu dilakukan di tepi Jalan Kamunting-Batu Kurau berhadapan Kolej Vokasional Taiping pada pukul 1.50 pagi, 15 November lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nazura Azman manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, S. Singaravadivel.
Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM2,500 setiap seorang.
6 Januari 2026 ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.