fb fb fb fb fb

Polis serbu dua premis, 112 mesin bitcoin dirampas

Foto BERNAMA

SIMPANG EMPAT, 18 November - Sebanyak 112 unit mesin perlombongan bitcoin dirampas dalam serbuan ke atas dua premis perniagaan sekitar Kuala Perlis dan Taman Putra, Utama, di Kangar pada 13 dan 15 November lalu.

Serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kangar, Balai Polis Kuala Perlis, Unit Risikan Marin Kedah/Perlis dan Tenaga Nasional Berhad itu melibatkan nilai rampasan berjumlah lebih RM420,000 ringgit termasuk pelbagai aksesori.

Menurut Ketua Polis Perlis, Datuk Mohamad Abdul Halim, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia lewat 20-an, dipercayai terlibat dengan kecurian elektrik dalam kegiatan perlombongan bitcoin di sebuah premis bangunan kedai, di Kangar Jaya pada 15 November.

"Dalam serbuan pertama pada 13 November di premis Pusat Perniagaan Marina, Kuala Perlis, pihak polis merampas 40 set mesin perlombongan bitcoin berserta aksesori.

"Manakala hasil serbuan kedua pada 15 November ke atas sebuah premis bangunan kedai di Kangar Jaya, sebanyak 72 set mesin perlombongan bitcoin berserta aksesori, berjaya dirampas," katanya kepada media di Balai Polis Simpang Empat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.

Suspek direman hingga 20 November ini.

EZA YUSMAWATI YAACOP