GEORGER TOWN, 3 Disember- Polis Pulau Pinang menahan tujuh lelaki disyaki terlibat dengan sindiket pelaburan tidak wujud secara dalam talian di Taman Sri Bayan dekat Bayan Lepas.
Penahanan dilakukan pada semalam kira-kira pukul 10.15 malam, menerusi tindakan Ops Nuri dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad.
Pihak polis menahan seorang daripada lelaki terbabit dalam keadaan mencurigakan di kawasan perumahan terbabit.
Susulan penahanan tersebut, ia membawa kepada penahanan enam lagi lelaki di kawasan perumahan berkenaan.
Pelbagai peralatan bagi kegunaan kegiatan terbabit turut dirampas antaranya dua buah komputer riba ,162 telefon bimbit dan peranti lain.
Kesemua suspek berusia antara 26 hingga 38 tahun direman hingga Jumaat ini bagi siasatan lanjut.
Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.