KUANTAN, 3 Disember-Mahkamah Majistret Kuantan, hari ini mengeluarkan perintah tahanan reman selama tiga hari, bermula hari ini sehingga Khamis, terhadap suami kepada bekas model dan pelakon, Zahnita Wilson.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tengku Kamaruzaman.
Suspek berusia 46 tahun yang bekerja sebagai kontraktor binaan itu disiasat dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 323 akta sama dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga.
Kejadian dipercayai berlaku pada 26 November lalu ketika Zahnita berada di kediamannya di sini sebelum berlaku perselisihan faham antara kedua-duanya.
Zahnita mendakwa, suaminya itu menumbuknya selepas bertanyakan mengenai kehadiran orang ketiga dalam hubungan mereka.
Zahnita sebelum ini mendedahkan pergolakan rumah tangga sejak penghujung tahun 2011 dan pernah memfailkan permohonan cerai terhadap suami di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor pada 2013 tetapi menariknya semula, awal tahun 2015.
Namun pada Disember 2015, bekas pelakon itu memfailkan semula permohonan cerai.
Mereka telah mendirikan rumah tangga sejak 2005 dan dikurniakan empat cahaya mata.