IPOH, 3 Disember- Polis Perak berjaya menumpaskan sindiket penipuan judi dalam talian didalangi warga China selepas menyerbu sebuah rumah di Sunway City, Ipoh, semalam.
Pemangku Ketua Polis Perak, DCP Zulkafli Saariat berkata, enam individu berusia 29 hingga 34 tahun ditahan dalam serbuan tersebut.
Jelasnya suspek aktif sejak Oktober lalu dan menyasarkan mangsa dari luar negara khususnya dari China dengan berperanan sebagai pengendali pusat panggilan, penjaga akaun dan pegawai khidmat pelanggan.
Sindiket menggunakan aplikasi Telegram dan laman sesawang yang diwujudkan khas untuk mempromosi iklan tambah nilai bagi tujuan perjudian.
Turut dirampas semasa serbuah adalah sebuah kereta, dua komputer riba, tujuh telefon bimbit, satu unit Ipad dan satu unit modem internet.
Kesemua suspek direman empat hari sehingga 6 Disember depan bagi membantu siasatan bawah Seksyen 120B serta Seksyen 420 Kanun Keseksaan.