JOHOR BAHRU, 21 Januari- Enam lelaki bersama seorang remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan melakukan penipuan pelaburan dalam talian tidak wujud, 13 Januari lalu.
Choo Weng Seng, 39 tahun; Tan Chun Leong (41); Ryan Wong Wor Yew (24); Wess Lee Von Kim (19); serta Sky Chang Ji Shiang dan Yap Wai Xien masing-masing berusia 20 tahun mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Sementara itu remaja 17 tahun tersebut mengaku tidak bersalah.
Kesemua tertuduh didakwa sebagai pihak kepada suatu pakatan jahat dengan tujuan melakukan jenayah, membuat penipuan pelaburan dalam talian tidak wujud yang bertentangan dengan Seksyen 417 Kanun Keseksaan.
Perbuatan tersebut dilakukan di Taman Ekoflora, Johor Bahru.
Pendakwaan dikemukakan bawah Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Manakala bagi remaja berkenaan boleh diperintahkan untuk dilepaskan dengan amaran atau diberikan bon berkelakuan baik dengan apa-apa syarat yang dikenakan oleh mahkamah, jika sabit kesalahan.
Remaja itu juga boleh diperintahkan membayar denda atau perintah khidmat masyarakat atau dihantar ke sekolah diluluskan atau ke Sekolah Henry Gurney.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nik Noratini Nik Azman dan kesemua tertuduh diwakili peguam, Dahlia Tan.
Mahkamah menetapkan 6 Mac depan sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan menjatuhkan hukuman.