fb fb fb fb fb

Penjawat awam direman enam hari, seleweng wang sumbangan RM132,000

Foto Hiasan

KANGAR, 21 Januari - Seorang penjawat awam sebuah agensi agama kerajaan negeri Perlis direman enam hari bagi membantu siasatan berkaitan penyelewengan wang sumbangan kepada saudara baru bernilai RM132,000.

Perintah reman berkenaan dibenarkan Majistret Ana Rozana bermula hari ini hingga 26 januari.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), suspek berusia 28 tahun yang berasal dari Kangar itu dipercayai terbabit dalam penyelewengan dana sumbangan antara tahun 2022 hingga 2024.

Suspek dipercayai mengemukakan 49 dokumen palsu berkaitan sumbangan kepada saudara baru bagi mendapatkan wang berkenaan.

Bagaimanapun siasatan awal mendapati wang berkenaan tidak diserahkan, sebaliknya digunakan untuk kepentingan peribadi.

Suspek dipanggil ke pejabat SPRM pada pukul 2.30 petang semalam sebelum ditahan sekitar pukul 4.30 petang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana mengemukakan tuntutan palsu.

TETITIA YUSOFF