fb fb fb fb fb

Tolak teman wanita jatuh kondominium, pemandu lori dirujuk ke Hospital Bahagia

Pemandu lori, V. Nathan, 37, di hadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini

SHAH ALAM, 19 April- Seorang pemandu lori yang didakwa membunuh teman wanita warga Thailandnya dengan menolak mangsa dari tingkat 23 sebuah kondominium di Setia Alam pada Februari lalu diarah oleh Mahkamah Majistret di sini untuk menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Tanjong Rambutan, Ulu Kinta, Perak. 

Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Sivahnanthan Ragava supaya V. Nathan, 37, dihantar untuk pemerhatian psikiatri kerana dipercayai keadaan mentalnya yang tidak stabil.

Terdahulu Sivahnanthan yang membuat permohonan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah memberitahu mahkamah bahawa sukar untuk pihaknya mendapatkan arahan dari anak guamnya kerana dia tidak responsif.

Mahkamah turut menetapkan 7 Jun ini untuk menerima laporan psikiatri terkini pemandu lori itu.

Nathan didakwa membunuh Mawika Lumyai, 32, di sebuah kondominium di Jalan Setia Dagang AH U13/AH, Setia Alam, di sini pada pukul 10.02 malam, 28 Februari lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan 12 sebatan jika sabit kesalahan.

ARTIKEL BERKAITAN
Wanita maut ditolak teman lelaki dari tingkat 23

SITI AISHAH MD ISA