KUALA LUMPUR, 8 Julai -Seorang jurujual mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan penipuan membabitkan urusan jual beli 150,000 kotak sarung tangan lima tahun lalu.
Tertuduh, P. Dinesh, 36, didakwa atas satu pertuduhan menipu seorang pengarah syarikat Atlas Holding Ltd dengan memperdaya mangsa menyerahkan wang berjumlah RM5.1 juta untuk pembelian stok sarung tangan sebanyak 150,000 kotak yang tidak wujud.
Tertuduh memperdaya individu berkenaan supaya mempercayai bahawa kotak sarung tangan jenis Coats Nitrile Examination berjenama Hartalega tersedia untuk dijual dan diserahkan oleh Aspen Broadway Sdn Bhd syarikat tempat tertuduh bekerja kepada syarikat lain.
Susulan itu, mangsa menyerahkan wang sebagai bayaran pembelian menerusi sebuah firma guaman ke dalam akaun milik firma guaman lain yang dilantik oleh Aspen Broadway sebagai peguam syarikat.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Tun Ismail pada 9 November 2020.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Chow Siang Kong mencadangkan jaminan sebanyak RM500,000 dengan dua penjamin serta syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Mohd Akmal Mohd Taufiq, memohon jumlah jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya perlu menyara ibu yang sedang sakit, selain isteri dan seorang anak.
Jumlah jaminan yang dicadangkan juga disifatkan terlalu tinggi dan boleh menjadi satu bentuk hukuman kepada orang kena tuduh (OKT) yang belum disabitkan kesalahan.
Hakim Azrul Darus kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin, selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 28 Julai 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes.
Untuk makluman, tertuduh merupakan pembantu kepada pengarah syarikat Aspen Broadway, R. Gopinatan Pillai, 60, yang sebelum ini turut didakwa pada 10 Februari 2025 atas lapan pertuduhan menipu dan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama berkaitan kes sama.