fb fb fb fb fb

Kartel tipuan bida: Tiga syarikat dikenakan penalti RM2.98 juta

Datuk Iskandar Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC

KUALA LUMPUR, 8 Julai -Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenakan penalti RM2.98 juta terhadap tiga syarikat kontraktor yang terlibat kartel penipuan bida.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Datuk Iskandar Ismail berkata, tiga perusahaan itu ialah Abadi Malaysia Sdn Bhd (Abadi Malaysia), Kota Lanskap Sdn Bhd (Kota Lanskap) dan Usia Maintenance Sdn Bhd (Usia Maintenance).

"Ketiga-tiga perusahaan tersebut dikesan melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) kerana terlibat dalam kartel tipuan bida melibatkan enam tender yang dikeluarkan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) antara tahun 2018 dan 2021.

Siasatan mendapati, penyelarasan untuk membida tender oleh perusahaan terlibat telah dilakukan melalui perkongsian maklumat menerusi Whatapp, email dan beberapa mesyuarat yang dilaksana," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini.

Jelas beliau, MyCC menjalankan penilaian awal susulan aduan mengenai aktiviti tipuan bida membabitkan projek berkaitan penyelengaraan bangunan dan fasiliti, landskap serta kerja kejuruteraan awam di Putrajaya.

Hasil penilaian dilakukan, pihaknya mengenal pasti sembilan perusahaan yang disyaki terbabit dalam kartel tipuan bida.

"Mula-mula kami siasat sembilan syarikat dahulu, disusuli siasatan penuh, kemudian serbuan, termasuk mengambil kenyataan daripada 24 individu dan permohonan maklumat serta analisis bukti-bukti berkaitan.

Semasa serbuan dijalankan, MyCC telah menemukan dokumen milik semua perusahaan di premis Kota Lanskap yang menunjukkan wujudnya penyelarasan secara berpusat antara perusahaan berkaitan penyediaan dokumen tender," katanya lagi.

Hasil siasatan tersebut, MyCC telah mengeluarkan keputusan cadangan terhadap perusahaan terbabit pada 10 September 2024 dan menerima representasi mereka pada 11 November 2024 dan 13 Mac lalu.

Beliau berkata, pengarah-pengarah syarikat berkenaan didapati mempunyai hubungan kekeluargaan serta kenalan antara satu sama lain.

"Tiada pegawai PPj terbabit dengan kegiatan ini dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan yang membuat aduan selain memberi kerjasama baik ketika siasatan dilakukan.

Secara keseluruhannya, kami masih ada 14 kes dalam siasatan membabitkan lebih 500 syarikat dengan nilai tender RM2.3 billion," ujar beliau lagi.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN