MELAKA, 9 Julai -Tiga lelaki warganegara China berusia antara 32 hingga 38 tahun ditahan Polis selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penipuan tawaran kerja sambilan dalam talian yang didakwa tidak wujud di negeri itu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kesemua mereka ditahan di sebuah kediaman di Taman Pandan Malim pada 7 Julai lalu.
“Hasil siasatan mendapati ketiga-tiga lelaki berkenaan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
Polis turut merampas sebuah unit komputer riba dan tiga telefon bimbit pelbagai jenama yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut.
Ketiga-tiga suspek kini direman selama empat hari bermula semalam hingga 11 Julai untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.