KUCHING, 9 Julai - Kes seorang anggota polis trafik yang dituduh mengakibatkan kematian seorang lelaki di Jalan Stephen Yong di sini, April lalu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Perintah itu dikeluarkan Majistret Ling Hui Chuan selepas pihak pendakwaan mengemukakan laporan kimia dan bedah siasat bagi menyokong permohonan untuk memindahkan kes dihadapi tertuduh, Genesis Nitchell David Reddy, 30.
Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Adriana Maisarah Mohamad Farid, memaklumkan telah mendapat kelulusan untuk kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dalam masa terdekat, namun tiada tarikh sebutan ditetapkan setakat ini.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Lans Koperal Genesis Nitchell yang bertugas Unit Trafik Bukit Aman, didakwa membunuh Muhammad Zaki Iderus, 34, yang maut akibat terkena tembakan.
Ketika kejadian mangsa berada di dalam sebuah kereta di Jalan Stephen Yong, 26 April lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret di sini pada 7 Mei lalu, namun tiada pengakuan direkodkan.
Genesis diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Russell Lim dan Zoe Chan.