fb fb fb fb fb

JPJ sita bas persiaran, pemandu tiada lesen sah

Sebuah bas persiaran membawa 28 pelajar kolej disita dalam operasi JPJ di Jalan Hutan Kampung menghala ke Langgar, Kedah.

ALOR SETAR, 9 Julai -Sebuah bas persiaran yang membawa 28 pelajar kolej disita dalam satu operasi penguatkuasaan di Jalan Hutan Kampung menghala ke Langgar hari ini, selepas dikesan melakukan pelbagai kesalahan serius.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Stien Van Lutam berkata, pemeriksaan mendapati pemandu bas berusia 23 tahun itu tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten Kelas E yang sah serta tiada Lesen Vokasional Perkhidmatan Awam yang membolehkannya membawa kenderaan berat awam.

Bas berkenaan juga dikesan beroperasi dengan Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh dan gagal menjalani pemeriksaan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM), menjadikannya tidak layak berada di atas jalan.

“Bagi mengelakkan risiko terhadap keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain, tindakan sitaan dibuat serta-merta,” katanya.

Kes disiasat di bawah beberapa peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan tindakan lanjut akan diambil terhadap pengendali dan pemandu terlibat.

JPJ Kedah akan terus melaksanakan operasi secara berkala bagi memastikan pengusaha kenderaan awam mematuhi syarat dan undang-undang yang ditetapkan.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN