KUALA LUMPUR, 9 Julai -Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menyatakan kebimbangan terhadap nasib empat warga Malaysia dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Zon Ekonomi Khas Segi Tiga Emas (Golden Triangle Special Economic Zone), terletak berhampiran sempadan Laos dan Kemboja.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata keempat-empat individu berusia lingkungan 20 hingga 24 tahun itu pada awalnya menerima tawaran pekerjaan di luar negara.
Namun kini dipercayai ditahan pihak berkuasa tempatan atas dakwaan berkaitan status imigresen dan disyaki menjadi mangsa pemerdagangan manusia.
"Kami menerima maklumat bahawa mangsa ditahan oleh polis tempatan di kawasan Golden Triangle SEZ dan besar kemungkinan beliau merupakan salah seorang daripada ramai mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang beroperasi di rantau itu," katanya dalam sidang media di pejabat MHO di ibu negara.
Menurut Datuk Hishamuddin, laporan yang diterima pihaknya mendakwa mangsa berkemungkinan besar dijadikan buruh paksa oleh sindiket penipuan dalam talian, termasuk dipukul dan dikurung.
Sementara itu keluarga salah seorang mangsa yang hadir pada sidang media itu turut meluahkan rasa bimbang dan berharap bantuan segera dapat disalurkan untuk membawa pulang kesemua yang ditahan dengan selamat.
"Kami merayu agar anak kami dapat dibawa pulang secepat mungkin. Kami bimbang keselamatannya di sana. Bantulah kami, kami hanya mahu dia kembali ke pangkuan keluarga," kata salah seorang ahli keluarga mangsa.