PUTRAJAYA, 9 Julai -Mahkamah Persekutuan hari ini dimaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di rumah.
Sebaliknya, pertikaian AGC melibatkan prosedur bagi mengemukakan titah itu sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman Datuk Seri Najib di Mahkamah Tinggi.
Perkara itu dinyatakan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan pada prosiding rayuan Peguam Negara bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu membuat semakan kehakiman berhubung titah adendum berkenaan di Mahkamah Tinggi.
"Bagaimanapun, prosedur untuk mengemukakan bukti baharu hendaklah dipatuhi. Responden (Datuk Seri Najib) mesti mematuhi peraturan untuk mengemukakan bukti baharu,"hujahnya.
Bukti baharu tersebut membabitkan afidavit anak Datuk Seri Najib, iaitu Datuk Mohamad Nizar yang memasukkan sesalinan titah adendum yang diterimanya dari Pejabat Istana Pahang, namun dilarang menggunakan surat berkenaan tanpa perkenan Sultan Pahang.
Pada akhir sesi prosiding hari ini, Shamsul turut menyatakan pihaknya kekal dengan pendirian seperti mana hujahan bertulis yang telah dikemukakan sebelum ini.
"Kami berpendirian seperti hujahan bertulis yang telah dikemukakan sebelum ini dan menyerahkan kepada Mahkamah Persekutuan untuk memutuskannya," kata beliau.
Prosiding bermula 9.30 pagi diperdengarkan dihadapan Hakim Besar Malaya Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.
Turut berhujah pada prosiding hari ini ialah Peguam Datuk Seri Najib, iaitu Tan Sri Mohammad Shafee.
Beliau antaranya berhujah, ketidakpastian kesahihan kewujudan titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 menjadi punca titah berkenaan tidak dapat dilaksanakan sehingga hari ini.
Justeru wujudnya keperluan mendesak untuk membuat semakan kehakiman berhubung titah tersebut di Mahkamah Tinggi dengan penambahan bukti baharu.
Tan Sri Hasnah kemudian memaklumkan keputusan rayuan Peguam Negara itu akan dimaklumkan menerusi satu tarikh yang akan diberitahu kelak.