KUALA LUMPUR, 8 Julai –Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan seorang pemilik akaun TikTok, Ku Muhammad Hilmie Ku Din, 35, membayar ganti rugi sebanyak RM100,000 kepada Datin Seri Rosmah Mansor.
Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh dalam penghakimannya berkata, Datin Seri Rosmah sebagai plaintif berjaya membuktikan hak untuk menerima ganti rugi susulan kenyataan fitnah yang dimuat naik defendan menerusi akaun TikTok miliknya.
"Mahkamah menetapkan jumlah keseluruhan RM100,000 bagi ganti rugi am dan ganti rugi teruk. Mahkamah tidak membenarkan tuntutan ganti rugi teladan kerana tiada bukti kukuh dikemukakan," katanya semasa prosiding yang dijalankan secara dalam talian.
Mahkamah turut memerintahkan faedah lima peratus setahun dikenakan ke atas jumlah ganti rugi, dikira dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh, serta kos guaman sebanyak RM20,000 kepada plaintif.
Dalam penghakiman, Hakim Ahmad Shahrir turut menyatakan bahawa kenyataan defendan yang mengaitkan Datin Seri Rosmah dengan amalan ilmu hitam adalah satu serangan terhadap perwatakan plaintif dari sudut integriti agama dan kedudukan moral.
"Dalam masyarakat yang amat menitikberatkan nilai agama dan moral, tuduhan seperti ini membawa kesan serius dan mampu menjejaskan reputasi dengan ketara," katanya.
Mahkamah juga menegaskan bahawa walaupun Datin Seri Rosmah telah disabitkan kesalahan dalam kes projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion dan sedang merayu di Mahkamah Rayuan, sabitan tersebut tidak relevan dalam pentaksiran ganti rugi kes saman fitnah ini.
Rosmah, 73 memfailkan saman pada 19 September 2023, mendakwa Ku Muhammad Hilmie telah memuat naik video fitnah bertarikh 22 Mac 2023 yang mengandungi tuduhan palsu termasuk mengaitkan beliau dengan syirik, perbuatan berdosa, amalan syaitan dan bomoh.
Menurut Datin Seri Rosmah, kenyataan itu telah merosakkan nama baiknya sebagai isteri bekas Perdana Menteri dan penaung beberapa pertubuhan kebajikan negara.
Pada 28 Mei 2024, Datin Seri Rosmah memperoleh penghakiman ingkar selepas defendan gagal menjawab saman dalam tempoh ditetapkan.
Peguam Datuk Abu Bakar Isa Rahmat dan Mohamed Baharuden Mohamed Ariff mewakili plaintif dalam prosiding tersebut.