SEREMBAN, 8 Julai -Empat lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas dua pertuduhan mencuri mesin penapis air jenama Coway di dua buah masjid berasingan di Mantin dan Lenggeng, Nilai pada 30 Jun dan 1 Julai lalu.
Tertuduh, Mohd. Akiq Faiqal Idris, 29, Muhammad Danial Darishan Muhamad Ruduan, 19, Muhammad Syaiful Muhamad, 29 dan Muhammad Zulfikri Sulaiman, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti dan Nurul Saqinah Rosli di dua buah kamar berasingan.
Mengikut pertuduhan pertama, kesemua tertuduh secara bersama-sama telah mencuri sebuah mesin penapis air Coway di dalam Masjid As-Siddiqin Batang Benar, Mantin kira-kira pukul 8.11 malam, 30 Jun lalu.
Mahkamah memutuskan Mohd Akiq, Muhamad Syaiful dan Muhammad Zulfikri dipenjara selama tiga bulan bermula dari tarikh sabitan hari ini.
Manakala Muhammad Danial Darishan dibenarkan jaminan sebanyak seribu RM500 sementara menunggu laporan sosial dan tarikh sebutan ditetapkan pada 5 Ogos depan, kerana tertuduh merupakan pesalah muda.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd Akiq Faiqal, Muhammad Danial Darishan dan Muhammad Zulfikri dijatuhi hukuman penjara selama tiga bulan, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri sebuah mesin penapis air Coway di Masjid Kariah Lenggeng, Nilai, kira- kira pukul 2.30 petang 1 Julai lalu.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.