fb fb fb fb fb

Penghantar makanan didakwa pandu tanpa lesen, melulu

Tertuduh, Iskandar Abd Aris dikawal polis ketika tiba di mahkamah

SEREMBAN, 8 Julai- Seorang penghantar makanan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas dua pertuduhan iaitu memandu tanpa lesen dan memandu secara melulu hingga membahayakan orang awam.

Tertuduh, Iskandar Abd Aris, 20 tahun, mengaku bersalah atas pertuduhan pertama, namun tidak mengaku bersalah bagi pertuduhan kedua. Pengakuan tersebut dibuat selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti.

Mengikut pertuduhan pertama, pada 6 Julai lalu kira-kira pukul 2 pagi di Jalan Persiaran Senawang 1, tertuduh memandu kenderaan jenis Proton Satria tanpa memiliki lesen memandu yang sah.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda antara RM300 hingga RM2,000 atau penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan kedua pula melibatkan kesalahan memandu secara melulu dengan membahayakan orang awam pada masa dan lokasi sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 42(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memiliki lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun. Lesen percubaan tertuduh juga boleh dibatalkan jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM300 bagi pertuduhan pertama dan menetapkan 21 Ogos depan sebagai tarikh serahan laporan sosial.

Bagi pertuduhan kedua, mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada tarikh sama.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE