fb fb fb fb fb

Polis terima laporan, SKMM siasat video palsu wajah mirip Sultan Pahang

Datuk Seri Yahaya Othman beramah mesra dengan sebahagian pegawai polis yang hadir pada Perhimpunan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan di sini harı ini / BERNAMA

PEKAN, 8 Julai- Polis mengesahkan menerima laporan berkaitan penyebaran video palsu yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) memaparkan wajah mirip Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang tular di media sosial.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, laporan berkenaan telah diterima daripada pihak Istana Pahang pada Ahad lalu.

"Kita telah menerima laporan mengenai AI yang berupa fake. Jadi kita telah merujuk kes itu kepada pihak SKMM dan dibuka mengikut Seksyen 233 unsur multimedia. Selain daripada itu, kita dapati nama akaun itu adalah akaun palsu. Jadi kita rujuk kepada pihak SKMM untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Tambah beliau, kes tersebut telah diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan video berkenaan dan sentiasa memastikan kesahihan sesuatu maklumat sebelum berkongsi di media sosial.

Datuk Seri Yahaya berkata demikian ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Polis Pahang di Pekan.

Terdahulu, Istana Pahang mengesan penularan video palsu menerusi beberapa akaun di platform TikTok yang dihasilkan menggunakan teknologi AI dan memaparkan wajah menyerupai Al-Sultan Abdullah.

Menurut kenyataan rasmi menerusi laman Facebook Kesultanan Pahang, video berkenaan yang menawarkan bantuan kepada rakyat adalah tidak benar dan dipercayai bertujuan untuk menipu serta memperdaya orang ramai.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE