fb fb fb fb fb

Tipu jadi peguam, ejen hartanah didakwa babit penipuan RM48,000

Foto hiasan

JOHOR BAHRU, 11 Mac- Seorang ejen hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas dua pertuduhan menipu dan memperdaya dua individu membabitkan jumlah RM48,000, tahun lalu.

Pengakuan dibuat tertuduh, S. Shaminee, 43 tahun di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu bersama seorang lagi tertuduh yang juga pegawai penyiasat polis berpangkat Inspektor.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menipu seorang lelaki berumur 44 tahun dan seorang wanita berumur 33 tahun dengan memperdaya mangsa untuk percaya bahawa tertuduh adalah seorang peguam yang boleh membantu menyelesaikan siasatan sedang dijalankan oleh penyiasat berkenaan.

Perbuatan tersebut mendorong kedua-dua mangsa melakukan transaksi pemindahan wang secara dalam talian, masing-masing berjumlah RM24,000 pada 17 Mac tahun lalu.

Pendakwaan didakwa dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM), Siti Asmah Zainal Ariffin, manakala tertuduh diwakili Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan.

Ikat jamin dibenarkan sebanyak RM8,000 berserta beberapa syarat tambahan ditetapkan, manakala sebutan semula kes, 16 April depan.

ROSLINA BINTI DIN