JOHOR BAHRU, 11 Mac- Seorang pemilik kedai runcit dan dua lagi rakan, ditahan polis bersama dadah bernilai lebih RM346,000 dalam satu serbuan di sebuah kedai runcit Taman Universiti, Skudai, Johor pada 5 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Balveer Singh berkata rampasan melibatkan lebih 1 kilogram (kg) syabu, 1.84kg ekstasi dan 1kg ganja, selain lapan buah kenderaan serta wang tunai RM1,000 turut disita.
"Dipercayai aktif sejak Januari tahun 2025 dan dipercayai dadah ini diperoleh dari negara jiran. Setakat ini mereka menggunakan premis tersebut untuk mengumpul dan seterusnya mengedar daripada tempat tersebut", katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara.
"Dadah berkenaan sekiranya terlepas, dipercayai boleh digunakan seramai lebih 12,000 penagih", katanya.
Beliau berkata semua suspek berusia antara 22 hingga 29 tahun dengan dua daripadanya memiliki rekod kesalahan jenayah serta dadah.
Semua suspek direman sehingga 17 Mac ini bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.