fb fb fb fb fb

Pesara putih mata wang RM100,000 lesap diperdaya 'pegawai BNM'

Gambar hiasan

KUANTAN, 11 Mac - Seorang wanita pesara berputih mata apabila kerugian RM100,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) dan pihak mahkamah.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa berusia 60 tahun itu menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang mendakwa dirinya terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

“Suspek mengarahkan mangsa untuk mengisytiharkan wang simpanannya dengan memindahkan sejumlah wang ke akaun yang diberikan sebagai kononnya sebahagian daripada siasatan rasmi.

“Terpedaya dengan taktik licik itu, mangsa melakukan empat transaksi pindahan wang secara berperingkat ke dua akaun berbeza berjumlah RM100,000, bermula 7 Mac hingga 9 Mac lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila suspek meminta tambahan wang sebelum segera membuat laporan polis.

Susulan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan panggilan telefon yang meragukan, terutama yang mengaku daripada pihak berkuasa atau institusi kewangan.

“Orang ramai disarankan untuk membuat semakan segera dengan pihak polis atau agensi berkaitan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

“Masyarakat juga perlu sentiasa peka dengan trend penipuan atas talian yang semakin canggih seiring perkembangan teknologi,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN