fb fb fb fb fb

Tiga warga Singapura, seorang warga tempatan didakwa edar kokain

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang / Foto RTM

AMPANG, 26 Jun - Seorang lelaki tempatan dan tiga warga Singapura dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kokain dalam bentuk cecair, hampir 10 liter.

Kejadian dilaporkan berlaku berhampiran sebuah hotel, pada 19 Jun lalu.

Tertuduh, Kong Sien Mee, 57 tahun, bersama Quek Kien Seng, 45, Tristan Chew Jin Zhong, 25, dan Ivan Tan Zhi Xuan, 31, didakwa mengedar 9,420.2 mililiter kokain cecair pada pukul 11.45 pagi, di laluan keluar hotel terbabit.

Kesemua tertuduh mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan berikutan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup, serta minimum 12 sebatan jika tidak dihukum mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M Ramanathan Alias Ashwin.

Tiga tertuduh warga Singapura diwakili peguam Ille Maryam Yusnawannie, manakala tertuduh tempatan tidak diwakili peguam.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 8 September.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ