RANTAU PANJANG, 26 Jun- Sebanyak 8,910 kilogram karkas babi dirampas oleh Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas menahan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di Kampung Bukit Tandak, 19 Jun lalu.
Menurut satu hantaran di laman Facebook Briged Tenggara PGA Rasmi, rampasan dilakukan ketika anggota PGA menjalankan Op Taring WAWASAN Kelantan di kawasan sempadan berkenaan kira-kira pukul 4 petang.
"Pemeriksaan ke atas lori terbabit menemui muatan karkas babi di bahagian belakang kenderaan. Pemandu gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah berhubung barangan tersebut, yang disyaki diseludup dari Thailand.
"Lori itu dipandu oleh seorang lelaki India berusia 37 tahun, manakala kelindannya juga merupakan lelaki India berumur 43 tahun. Kedua-duanya dipercayai bertindak sebagai penghantar karkas babi tersebut ke pasaran tempatan," menurut hantaran tersebut.
Anggaran nilai keseluruhan rampasan termasuk lori dianggarkan bernilai RM595,000.
Kes diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk tindakan lanjut, dan disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.